ISU NEGARA ISLAM

Soalan-soalan yang sering ditanya.

  1. Apa asal usul perkataan "negara Islam"?
  2. Apakah yang dimaksudkan dengan negara Islam?
  3. Apakah Malaysia sebuah negara Islam?  
  4. Apakah konsep negara Islam yang dikemukakan oleh PAS?
  5. Apa reaksi seorang Muslim apabila orang bukan Muslim menolak pembentukan negara Islam?
  6. Layakkah orang bukan Islam yang tidak faham tentang konsep dan tasawwur negara Islam membicarakan tentang negara Islam? 20/08/01
  7. Bagaimana pula dengan orang Muslim sendiri yang menolak negara Islam?
  8. Benarkah negara Islam itu negara teokrasi dan menolak demokrasi? (20/08/01)
  9. Benarkah dalam negara Islam ulama' akan menjadi umara' (pemimpin negara)?
  10. Mengapa tolak negara Islam sebelum tahu atau faham konsep dan tasawwur (gambaran) negara Islam yang sebenar
  11. Apa cacatnya negara Islam? Sila tunjukkan apa kelemahan atau aspek negatif dalam negara Islam?
  12. Mengapa bergantung kepada UMNO untuk memahami maksud negara Islam?
  13. Dalam keadaan di mana orang Islam bukan penduduk majoriti dan dalam masyarakat majmuk apakah Negara 8. Islam boleh dilaksanakan?
  14. Di manakah model negara Islam?
  15. Benarkah jika  Islam memerintah di Malaysia semua patung berhala akan diruntuhkan?
  16. Apakah benar orang Islam akan dipaksa menurut hukum Islam apabila negara diperintah cara Islam?
  17. Bagaimanakah kedudukan orang bukan Muslim dalam negara Islam?
  18. Apakah negara Islam akan menghalang penyebaran dan perkembangan agama lain?
  19. Apakah dengan terlaksananya hudud dalam sesebuah negara maka negara tersebut menjadi negara Islam?
  20. Apakah orang bukan Islam tidak boleh minum arak dan makan babi dalam negara Islam? (20/08/01)
  21. Bagaimana kedudukan wanita dalam negara Islam? (20/08/01)
  22. Adakah orang bukan Islam merupakan rakyat kelas kedua (second class citizen)? (20/08/01)
  23. Dalam negara Islam, orang bukan Islam tidak ada peluang menjadi wakil rakyat dan pemimpin? (20/08/01)
  24. Mengapa asyik membicarakan apa yang boleh dan yang tak boleh apabila melihat kepada negara Islam? (20/08/01)

     

Respons/Jawapan/Komen

1. Apa asal usul perkataan "negara Islam"?

 "Negara Islam" adalah suatu perkataan yang dipopularkan di awal abad ke 20 sedangkan perkataan negara Islam tidak digunakan secara meluas sebelum itu. Sejak kurun ke 9 Hijrah lagi apabila Islam bertapak di Kelantan, peraturan serta undang-undang Islam sudah dilaksanakan di negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu termasuklah di negeri Melaka di abad yang ke11 M. Tetapi perkataan "negara Islam" tidak pernah disebut secara terbuka ketika itu. Masyarakatnya menghayati kehidupan cara Islam sehinggalah penjajah barat masuk ke Tanah Melayu pada abad yang ke 14 M dan kemudian memansuhkan undang-undang Islam. Di zaman Nabi Muhammad saw, perkataan "negara Islam"  tidak popular tetapi pengisian pemerintahan Islam di Madinah dan ciri-ciri di zaman pemerintahan Nabi saw memenuhi syarat-syarat pembentukan negara Islam di Madinah.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan negara Islam?

"Negara Islam" ialah negara yang meletakkan prinsip tauhid atau ketuhanan sebagai tunjang kepada pembentukan dan pengurusan sesebuah masyarakat dan negara. Kuasa mutlak (sovereignty)  hanya pada Tuhan dan bukan pada manusia, tidak sepertimana fahaman sekular yang menyatakan bahawa suara majoriti sebagai suara penentu meskipun keputusan yang dicapai atau yang dibuat bercanggah dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai sejagat yang boleh meruntuhkan akhlak dan nilai kemanusiaan. Berbanding dengan negara sekular, negara Islam tidak memisahkan aspek  agama dari aspek kehidupan. Setiap urusan kehidupan ini pasti ada hubungannya dengan Tuhan, manakala fahaman sekular mengemukakan slogan "biarkan urusan negara kepada pemerintah, urusan agama pada Tuhan." Ringkasnya, urusan politik pemerintahan dan pentadbiran negara tiada kena mengena dengan agama. Justeru, rakyat bebas membuat keputusan dalam meluluskan undang-undang tanpa mengira pandangan agama.

3. Apakah Malaysia sebuah negara Islam?

Malaysia bukan sebuah negara Islam walaupun 10 negara lain dalam OIC mengatakan Malaysia sebuah negara Islam. Ia mungkin "negara umat Islam" tetapi bukan "negara Islam." Perdana Menteri Malaysia sendiri pernah mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan hukum Islam tidak sesuai di negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia. Tetapi baru-baru ini UMNO ada mengatakan bahawa Malaysia adalah "negara Islam." Apa yang anihnya MCA, MIC, dan DAP tidak melenting dengan pengumuman tersebut tetapi melenting apabila PAS menyatakan tentang "negara Islam." Ini menunjukkan seolah-olah ada "negara Islam ala-UMNO"  dan "negara Islam al-PAS" sebagaimana UMNO pernah mendakwa cadangan hukum hudud yang dikemukakan di Kelantan adalah hudud PAS dan bukan hudud Islam. Penilaian samada sesebuah negara itu negara Islam atau tidak bukan berdasarkan institusi Islam yang dibina tetapi jauh lebih dari itu. Ah Choo dan Ramalingam yang memakai baju Melayu lengkap bersongkok dan bersamping songket tidak semestinya Muslim. Sila lihat Artikel: Isu Negara Islam: Satu Analisis Awal http://www.geocities.com/wct90/isu_negara_islam.htm

4. Apakah konsep negara Islam yang dikemukakan oleh PAS?

Petikan dari Perlembagaan PAS berbunyi "PAS memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah SWT". PAS tidak pernah menyebut dalam mana-mana dokumen rasminya bahawa ia mahu menegakkan "negara Islam". Perkataan "negara Islam" digunakan oleh PAS apabila berhadapan dengan orang Melayu Islam kerana orang Melayu Islam mempunyai asas kefahaman dan gambaran mengenai konsep negara Islam. PAS menggunakan perkataan "negara Islam" bagi memudahkan orang Melayu Islam memahami maksud cita-cita perjuangan PAS kerana  kebanyakan orang Melayu Islam sudah pun mendapat gambaran umum (sejak mereka kecil lagi) apa yang dimaksudkan dengan negara Islam.

5. Apa reaksi seorang Muslim apabila orang bukan Muslim menolak pembentukan negara Islam?

Seorang yang bukan Islam sudah pasti tidak mempunyai gambaran yang benar mengenai konsep dan tasawwur negara Islam, kebaikannya, roh keadilan dan kebenaran Islam, keberkatan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara cara Islam. Apabila orang bukan Muslim menolak negara Islam, maka orang Islam tidak  boleh menyalahkan orang bukan Islam selagi mana orang bukan Islam  tidak menyerang atau menghina agama, kitab suci atau Nabi-nabi.

6. Layakkah orang bukan Islam yang tidak faham tentang konsep dan tasawwur negara Islam membicarakan tentang negara Islam? 20/08/01

Mana mungkin orang bukan Islam layak untuk membicarakan negara Islam, mempromosikannya, apatah lagi mempertahankannya sekiranya mereka sendiri tidak faham konsep dan tasawwur negara Islam yang sebenar?   Begitu juga dengan orang Islam yang menolak negara Islam dalam keadaan di mana dia sendiri tidak faham tentang konsep dan tasawwur negara Islam yang sebenar.

7. Bagaimana pula dengan orang Muslim sendiri yang menolak negara Islam?

Orang Muslim yang menolak negara Islam adalah disebabkan: pertama, orang Muslim berkenaan jahil tentang konsep dan tasawwur negara Islam; lantas menolak negara Islam; kedua, orang Muslim berkenaan faham tentang tuntutan tersebut tetapi orang Muslim berkenaan tidak suka, benci, dan memusuhi Islam dan orang-orang yang mahu menghayati kehidupan cara Islam.

8. Benarkah negara Islam itu negara teokrasi dan menolak demokrasi?

Negara Islam bukan negara teokrasi 100% dan bukan juga demokrasi 100%. Negara teokrasi menekankan pemerintahan di laksanakan oleh para alim ulamaknya yang mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang ketuhanan dan hubungan yang rapat dengan Tuhan. Manakala negara demokrasi pula menekankan bahawa semua keputusan dibuat berdasarkan suara majoriti samada keputusan itu melibatkan undang-undang, pemilihan pemimpin, mahupun menentukan halatuju negara. Berbeza dengan negara teokrasi, di dalam negara Islam,  terdapat tiga badan yang terlibat dalam pemerintahan negara: badan eksekutif, badan pembuat undang-undang (legislative), dan badan kehakiman (judiciary). Para 'alim ulamak agama tidak semestinya memonopoli semua badan. Malah dalam dunia yang sentiasa berubah ini dan cabaran serta keperluan yang semakin kompleks ini,  pemerintahan sesebuah negara Islam memerlukan pelbagai tenaga pakar dari pelbagai bidang dan bukan bidang agama semata-mata. Oleh itu, soal ulamak agama mendominasi semua badan dalam sistem pemerintahan Islam tidak timbul. Sila lihat Artikel Demokrasi dan Islam – akan diterbitkan dalam laman web ini)

9. Benarkah dalam negara Islam ulama' akan menjadi umara' (pemimpin negara)?

Tidak semua ulamak boleh menjadi pemimpin negara kerana ia bergantung kepada kelayakan, keperibadian, keilmuan seseorang pemimpin. Tetapi yang jelas ialah tidak semua pemimpin negara boleh jadi ulamak. Di dalam Islam, kepimpinan ummah sejagat dijuruskan kepada ulamak tetapi kepimpinan pengurusan sesebuah negara boleh dijuruskan kepada umarak atau badan eksekutif yang diketuai oleh seorang Presiden atau Perdana Menteri. Pemimpin negara dalam negara Islam tidak semestinya seorang ustaz atau yang berlatarbelakangkan agama tetapi tidak salah kalau seseorang ustaz   yang mempunyai kelayakan untuk menjadi pemimpin negara. 

Gambaran bahawa dalam negara Islam hanya akan diperintah oleh ustaz dan ulamak yang berserban adalah tidak tepat. Itu adalah gambaran negara Islam ala-UMNO. Dalam negara Islam yang sebenar, orang bukan Islam juga boleh menjadi pemimpin untuk mewakili kelompok mereka dalam negara Islam melalui proses pemilihan kepemimpinan dalam negara tersebut. UNtuk memegang jawatan Perdana Menteri dalam sebuah negara Islam, sudah tentulah orang Islam yang wajib memegang amanahnya. Mana mungkin orang bukan Islam yang tidak memahami selok belok perundangan Islam dan pemerintahan menjadi Perdana Menteri dalam negera Islam? Tetapi jawatan Perdana Menteri tidak terhad kepada satu-satu kaum. Ia boleh dipegang oleh bukan Melayu yang berugama Islam.

10. Mengapa tolak negara Islam sebelum tahu atau faham konsep dan tasawwur (gambaran) negara Islam yang sebenar?

Kebanyakan orang  atau pihak yang menolak negara Islam ialah orang yang tidak cukup maklumat mengenai konsep dan tasawwur negara Islam. Adalah tidak adil bagi orang atau pihak berkenaan itu sendiri dan bagi orang Muslim apabila orang atau pihak yang tidak faham tentang konsep dan tasawwur negara Islam menolak "negara Islam".

11. Apa cacatnya negara Islam? Sila tunjukkan apa kelemahan atau aspek negatif dalam negara Islam?

Jika negara Islam ada cacat-celanya, sila kemukakan pada umat Islam apakah cacat-celanya. Apakah orang yang menolak negara Islam ini pernah duduk di bawah pemerintahan Islam? Apakah rasional bagi orang yang tidak pernah menikmati pemerintahan cara Islam menolak pemerintahan cara Islam dengan bersandarkan andaian-andaian dan propaganda yang negatif dan tidak tepat. Ia adalah satu yang tidak rasional. Mana mungkin kita menolak buah durian dan mengatakan ianya tidak sedap sedangkan kita belum merasainya?  

12. Mengapa bergantung kepada UMNO untuk memahami maksud negara Islam?

UMNO sebagai sebuah parti politik dengan jelas menolak "negara Islam" yang meletakkan aqidah atau ketuhanan sebagai tunjang dalam mengurus dan mentadbir negara.  (Sila lihat Artikel Petikan Akhbar - akan ditternitkan di laman web ini)

Bagi UMNO, terbinanya masjid yang banyak, bank Islam, universiti Islam, pusat Islam dan seumpamanya sudah cukup melayakkan Malaysia disebut sebagai negara Islam. Apakah apabila Ah Chong, Ramasamy, dan Ambok A/L Supat bersembahyang atau berpuasa sebulan Ramadan seperti orang Islam lain akan melayakkan diri mereka dipanggil orang Islam sedangkan mereka belum menerima kalimah syahadah sepenuh hati? 

Jika UMNO mempunyai kefahaman yang mengelirukan mengenai  konsep negara Islam, maka sudah tentu UMNO akan memberi gambaran yang tidak tepat mengenai negara Islam.

UMNO menggambarkan bahawa jika negara Islam dilaksanakan, maka negara akan menjadi huru-hara. Tetapi pernahkah UMNO melaksanakan negara Islam untuk melayakkan dakwaan mereka?

UMNO menggambarkan bahawa jika negara Islam dilaksanakan, maka banyak orang Islam atau Melayu yang akan hilang tangan dan kaki? Tetapi pernahkah UMNO melaksanakan negara Islam untuk membuktikan dakwaan mereka benar?

UMNO menggambarkan bahawa jika negara Islam dilaksanakan, orang bukan Islam, khususnya orang Cina dan India akan kehilangan kebebasan beragama. Tetapi pernahkah UMNO melaksanakan negara Islam untuk membuktikannya?

13. Dalam keadaan di mana orang Islam bukan penduduk majoriti dan dalam masyarakat majmuk apakah Negara Islam boleh dilaksanakan?

Perlu ditekankan di sini bahawa isu “negara Islam” sering disalahtafsirkan. “Negara Islam” tidak boleh diukur dengan majoriti atau minoriti umat Islam di sesebuah negara. Catatan sejarah dengan jelas menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam dalam sesebuah negara pernah menerima Islam sebagai sistem pemerintahan walaupun orang bukan Islam merupakan majoriti di negara berkenaan. Bermula daripada Kerajaan Islam Rasulullah SAW di Madinah yang didiami oleh masyarakat majmuk, kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman di mana penduduk majoritinya adalah Yahudi, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus di mana penduduk majoritinya adalah kristian, Kerajaan Islam minoriti yang pernah memerintah India di mana penduduk majoritinya adalah Hindu, dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa di mana penduduk majoritinya adalah Hindu, telah membuktikan bahawa “negara Islam” pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.   Orang Islam dan bukan Islam yang celik sejarah serta rasional akan menerima hakikat ini.

14. Di manakah model negara Islam?

 Model "negara Islam" yang terbaik ialah di zaman Nabi Muhammad saw dan Khalifah Ar-Rasyidin, Khalifah Umaiyyah, Khalifah Abbasiyyah, dan Khalifah Othmaniah . Perkataan "Negara Islam" pada masa dahulu tidak popular kerana yang lebih popular ialah khilafah Islamiyah dalam empayar Islam. Orang yang memerintah empayar Islam bukan Presiden atau Perdana Menteri sesebuah negara tetapi Khalifah Islam yang memerintah empayar yang luas yang mempunyai penduduk berbilang bangsa dan berbilang agama. 

Walaupun model negara Islam itu "jauh" untuk "dilihat dan dirasai" oleh kita tetapi bagi umat Islam, negara Islam Madinah menjadi contoh terbaik. Bagi orang bukan Muslim mungkin agak sukar untuk "melihat dan merasai" keadilan negara Islam Madinah. Islam pernah memerintah lebih dari 600 tahun tidak sepertimana pemerintahan komunis dan demokrasi barat yang gagal menunjukkan kecemerlangan dan kehebatan pemerintahannya.

Jika negara Islam ada modelnya, sila tunjukkan di manakah model  negara komunis yang berjaya? Sila tunjukkan di mana model negara demokrasi yang cemerlang? Apakah Amerika dan Britain negara contoh demokrasi yang berjaya sehingga mereka mengizinkan perkahwinan ssesama jantina? Apakah model pembangunan kebendaan yang menjadi ukuran? Atau model pembangunan kemanusiaan menjadi ukuran? Atau kedua-duanya sekali?

Negara-negara lain yang dikatakan "negara Islam" seperti Arab Saudi, Pakistan, Jordan, Iran, dan Sudan juga belum mampu menjadi "model negara  Islam." Di Malaysia, sorotan sejarah menunjukkan bahawa sebelum penjajahan barat berlaku  ke atas Tanah Melayu, wilayah-wilayah di Nusantara ini pernah melalui proses pemerintahan Islam di awal abad ke 9 Hijrah lagi walaupun tidak disebut "negara Islam." Itulah model yang dekat dengan kita.

Dan model yang terdekat dengan kita ialah Kelantan dan Terengganu.  Janganlah kita mengambil contoh "negara umat Islam" lain untuk dijadikan bahan untuk menolak "negara Islam" yang dikemukan oleh PAS kerana negara-negara tersebut tidak semestinya menunjukkan contoh model yang baik.

15. Benarkah jika  Islam memerintah di Malaysia semua patung berhala akan diruntuhkan?

 Islam menghormati kebebasan beragama. Islam tidak memaksa seseorang supaya menerima Islam. Islam percaya kesediaan diri dan kesedaran diri sendiri untuk menganut Islam adalah lebih baik dari dipaksa. Selama Kelantan dan Terengganu diperintah oleh PAS, yang memperjuangkan "negara Islam", yang berusaha memerintah cara Islam, tidak pernah satu pun patung Buddha yang runtuh atau pecah. Malah dua patung Buddha yang terbesar di Asia Tenggara ini masih "berbaring" dan "duduk" tenang di Kelantan. 

Isu pemecahan patung Buddha di Afghanistan oleh Taliban harus difahami dengan ikhlas dan rasional. Selama Afghanistan berada di bawah Taliban, tidak ada satu patung pun yang dipecahkan, samada patung Buddha atau patung Hindu. Tetapi apabila sekumpulan orang Eropah datang melawat Afghanistan dan menawarkan jutaan wang kepada pemerintah Taliban supaya memelihara dua patung besar di Afghanistan, maka orang-orang Taliban merasakan tindakan orang Eropah ini satu penghinaan ke atas rakyat Afghanistan rata-rata kebuluran dan memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan saki baki hidup. Bagi orang Taliban, mereka mempunyai prinsip bahawa tidak perlu memusnahkan patung-patung sembahan itu jika patung-patung ini tidak membahayakan rakyat Afghanistan. Tetapi apabila  orang barat menawarkan wang kepada Taliban supaya dipelihara patung-patung tersebut, maka orang Taliban merasakan bahawa bantuan wang itu lebih utama diberikan  kepada orang fakir miskin, kanak-kanak, orang tua, dan wanita yang memerlukan untuk makanan, perubatan, dan kebajikan hidup harian dari diberikan kepada "patung." Orang Taliban merasa hina dengan tindakan barat itu kerana "patung" tersebut lebih utama  dari membela keperluan kemanusiaan. Lantas, patung itu dipecahkan kerana "patung itu membahayakan nyawa dan kebajikan" rakyat Afghanistan. Isu pemecahan patung ini telah diputarbelitkan oleh media barat dan media di Malaysia tanpa menyatakan kisah sebenar di sebalik pemecahan patung-patung itu pada awalnya. Sebulan kemudian barulah The New Straits Times menyiarkan kisah sebenar peristiwa yang membawa kepada pemecahan patung-patung Buddha itu. 

16. Apakah benar orang BUKAN Islam akan dipaksa menurut hukum Islam apabila negara diperintah cara Islam?

Apabila sesebuah negara menerima Islam menjadi perundangan negara, maka undang-undang negara itu tidak lagi dipanggil “undang-undang Islam” tetapi undang-undang sivil yang telah dikanunkan dari undang-undang Islam. Dalam perkataan lain, ia menjadi “common law.” Tetapi dalam bab yang bersabit dengan urusan agama (Kristian, Buddha, Hindu dll), kekeluargaan, pembahagian harta pusaka dan apa jua perkara yang ada disebut dalam agama masing-masing, maka penganut agama masing-masing  BOLEH MEMILIH untuk menurut hukum agama masing-masing ATAU MEMILIH hukum negara. Manakala dalam bab jenayah, semua orang tertakluk kepada undang-undang sivil atau “common law.”  Kebanyakan orang yang menolak hukuman atau undang-undang Islam (sebelum daripada melihat kebaikan, keberkesanan dan rasionalnya atau premature action) tidak mampu memberi jaminan bahawa undang-undang jenayah yang sedia  ada di negara ini dapat menyelesaikan masalah gejala sosial dan  korupsi dalam negara. Layakkah kita menolak negara Islam sebelum kita pernah merasai nikmat berada dalam negara Islam? (Sila lihat Artikel Gejala Sosial dan Korupsi Dalam Negara – akan diterbitkan dalam laman web ini).

17. Bagaimanakah kedudukan orang bukan Muslim dalam negara Islam?

Apabila sesebuah negara menerima Islam menjadi perundangan negara, orang bukan Islam tetap mendapat hak asasi mereka, kemudahan dan peluang untuk menguruskan kehidupan dan aktiviti harian mereka sepertimana orang Islam lain dalam negara tersebut. Malah peluang mereka adalah lebih besar dan lebih terjamin berbanding dengan keadaan yang sedia ada. Peluang-peluang berdasarkan keadilan dan kebenaran tanpa mengira kaum dan keturunan adalah antara perkara yang ditekankan dalam negara Islam. Dalam pada itu, sudah tentu terdapat beberapa batasan rasional yang digariskan. Batasan-batasan rasional ini dibuat bagi menjaga kepentingan umum. Misalannya aktiviti judi, pelacuran, dan dadah adalah aktiviti yang tidak baik dan tidak sihat. Tidak ada agama (samada Islam, Buddha, Hindu, Kristian) yang mengatakan bahawa judi, pelacuran dan dadah  itu baik dan sihat. Dan tidak ada kaum yang berani mengatakan bahawa judi, pelacuran, dan dadah adalah budaya dan cara hidup kaum mereka. Jika ada orang menolak negara Islam kerana negara Islam mengharamkan judi, pelacuran, dan dadah, maka orang berkenaan lebih mementingkan diri sendiri dari mementingkan rakyat yang lebih ramai. Tetapi negara Islam tidak pernah menyekat orang berkenaan untuk melaksanakan aktiviti judi, pelacuran, dan dadah di negara lain. (Sila lihat Artikel Kedudukan Orang Bukan Islam dalam Negara Islam – akan diterbitkan dalam laman web ini)

18. Apakah negara Islam akan menghalang penyebaran dan perkembangan agama lain?

Islam tidak menyekat kebebasan beragama dan penyebaran agama lain dalam negara Islam. Tetapi setiap agama mesti menghormati di antara satu agama dengan satu agama yang lain. Setiap agama mempunyai peraturannya masing-masing dan setiap agama harus menghormati peraturan yang ada dalam agama lain. 

Dalam agama Hindu, seseorang hanya boleh menjadi Hindu dengan sebab dilahirkan sebagai Hindu. Dalam agama Kristian dan Buddha, seseorang yang tidak beragama atau penganut agama tertentu boleh memeluk agama  Kristian atau Buddha. 

Dalam Islam, seseorang boleh menjadi Muslim dengan sebab dilahirkan dari keluarga Muslim dan dengan sebab menganut agama Islam. Dalam pada itu, dalam Islam, terdapat peraturan (yang mungkin tidak terdapat dalam agama-agama lain) iaitu orang Islam yang murtad dari agama Islam tertakluk kepada hukum agama Islam. 

Ini bermakna orang bukan Islam atau penganut agama lain perlu menghormati peraturan yang dalam agama Islam berhubung dengan perkara ini. Ini juga bermakna penganut agama lain masih boleh menyebarkan agama mereka kepada orang lain yang bukan Islam dan tidak kepada penganut Islam bagi menunjukkan penghormatan mereka kepada peraturan yang ada pada agama Islam. 

Agama lain masih boleh disebarkan tetapi tidak kepada orang yang telah Islam kerana agama Islam membuat peraturan bahawa orang Islam tidak boleh keluar agama. Agama lain perlu menghormati peraturan agama Islam sebagaimana Islam menghormati peraturan agama lain. Cumanya di dalam agama lain tidak ada peraturan yang disebut dalam kitab suci mereka secara bertulis melarang penganut agama mereka menukar agama kepada agama lain. Larangan penukaran agama dalam agama lain difahamkan dibuat berdasarkan pandangan ketua agama tertentu tetapi tidak disebut secara khusus peraturan itu dalam kitab suci mereka. Inilah yang dikatakan hormat menghormati (mutula understanding) dalam beragama.

Tetapi jika penganut agama lain tidak menerima hakikat bahawa dalam Islam ada peraturan berhubung dengan murtad, maka orang berkenaan tidak rasional tetapi emosional kerana tidak menghormati peraturan yang ada dalam agama Islam yang ada kena mengena dengan penganut agama Islam. (Sila lihat Artikel Pandangan Islam terhadap agama lain – akan diterbitkan dalam laman web ini)

19. Apakah dengan terlaksananya hudud dalam sesebuah negara maka negara tersebut menjadi negara Islam?

Hukum hudud hanya satu daripada komponen dalam sistem pemerintahan di sesebuah negara Islam. Hukum hudud tidak boleh berjalan dengan sempurna jika undang-undang dan jika sistem kehakiman yang sedia ada tidak berasaskan kepada keadilan dan kebenaran (dari perspektif Islam). Malah pelaksanaan hukum hudud pula tidak akan sempurna dan akan dianggap zalim apabila tidak mengikut adab atau akhlak semasa melaksanakan hukum tersebut. Orang yang menolak hudud boleh dibahagi kepada tiga kumpulan: pertama, orang ini mungkin jahil mengenai konsep hudud, kebaikan, dan rasionalnya; kedua, orang ini mungkin takut kalau-kalau hukum itu terjatuh ke atas dirinya atau kerabatnya; ketiga, orang ini mungkin sengaja memusuhi Islam dan tidak menghormati peraturan yang ada dalam Islam.

20. Apakah orang bukan Islam tidak boleh minum arak dan makan babi dalam negara Islam? (20/08/01)

Islam menghormati peraturan yang ada dalam agama lain. Sekiranya agama lain tidak mengharamkan babi dan arak di   kalangan penganut mereka, maka negara Islam tidak akan menghalang orang bukan Islam dari minum arak atau makan babi. Pengharamann arak dan babi hanya ke atas orang Islam. Bagaimanapun, orang bukan Islam harus juga menghormati adab-adab minum arak dan makan babi di hadapan orang Islam. Dalam hal ini, sebagai sebuah kerajaan, pihak pemerintah negeri, seperti di Kelantan dan Terengganu, berhak mengadakan peraturan mengenai pembuatan minuman arak, penjualan arak, tempat minum arak, penternakan babi, penjualan daging babi, dan apa jua bersabit dengan dua perkara di atas bagi menjaga keharmonian dan kepentingan masyarakat seluruhnya. Hak untuk minum arak dan makan babi tetap diberikan.

Orang Melayu UMNO yang tidak faham mengenai perkara ini mahukan sebuah negara Islam yang mengharamkan arak dan babi 100% di dalam negara Islam ala-UMNO. Inilah gambaran salah yang diberikan oleh UMNO.  Kerajaan negeri Terengganu  di bawah pimpinan PAS membenarkan babi diternak di Terengganu kerana kerajaan Terengganu di bawah pimpinan PAS memahami hak rakyat pelbagai agama tetapi semasa pemerintah BN di Terengganu, penternakan babi tidak dibenarkan.

21. Bagaimana dengan kedudukan wanita dalam negara Islam? (21/08/01)

Dalam negara Islam, wanita adalah rakyat, tanpa mengira latarbelakang agama dan kaum, dan setiap rakyat berhak mendapat hak mereka. Hak ini termasuk hak untuk mendapat perlindungan, bekerja, memiliki harta, pendidikan, mengundi, memperolehi gaji yang sepatutnya dan memegang jawatan dalam organisasi. 

Di Kelantan dan Terengganu, wanita mendapat pembelaan lebih baik dari negeri-negeri lain. Sektor perniagaan di pasar besar Kelantan di kuasai oleh wanita. Wanita yang bekerja dengan kerajaan mendapat cuti 90 hari untuk cuti bersalin berbanding dengan negeri lain yang hanya memberikan cuti 60 hari sahaja. Wanita tidak digalakkan bekerja pada sebelah malam tetapi sekiranya terpaksa bekerja pada sebelah malam,  khususnya yang bekerja di kilang-kilang, pihak majikan diminta menyediakan asrama atau pengangkutan dan memberi perhatian serius  terhadap keselamatan pekerja wanita. Wanita di Kelatan mendapat keistemewaan dengan adanya bas untuk wanita dan kaunter untuk wanita, bukan tujuan mendiskriminasikan wanita, tetapi untuk melindungi mereka. Kalau bilik air boleh dipisahkan untuk lelaki dan wanita, mengapa dalam soal pengangkutan untuk wanita dan kaunter untuk wanita tidak boleh diadakan sedangkan dalam dua hal ini wanita mudah dibuli. (Sila lihat Artikel Perlindungan Islam Terhadap Wanita (tanpa mengira kaum dan agama),  Harta dan Wanita pada pandangan Islam – akan diterbitkan dalam laman web ini)  

22. Adakah orang bukan Islam merupakan rakyat kelas kedua (second class citizen)? (20/08/01)

Setiap rakyat dalam negara Islam adalah sama sahaja dari sudut kerakyatan. Perbezaan agama tidak menjadikan rakyat tidak mendapat perlindungan dan hak mereka. Orang miskin, lemah, terpinggir, tertindas dan terabai berhak mendapat perlindungan tidak kira samada mereka Islam atau bukan Islam. Orang bukan Islam yang memerlukan berhak memiliki tanah yang diperuntukkan, mendapat bantuan kewangan untuk pendidikan, mendapat rawatan kesihatan, dan seterusnya. Keadilan ekonomi dan keadilan sosial yang ditawarkan oleh Islam adalah lebih baik dari sistem yang ada sekarang ini.

Propaganda negatif yang djalankan oleh orang-orang sekular  terhadap kedudukan orang bukan Islam dalam negara Islam telah menyebabkan orang bukan Islam takut dan keliru dengan negara Islam. Inilah strategi "confuse and control" yang dijalankan oleh pihak tertentu untuk menjaga kepentingan peribadi dan orang-orang tertentu. 

23. Dalam negara Islam, orang bukan Islam tidak ada peluang menjadi wakil rakyat dan pemimpin? (201/08/01)

Islam mengiktiraf orang bukan Islam untuk melantik pemimpin yang layak untuk menjadi pemimpin. Proses perlantikan ini boleh berlaku dalam pilihanraya umum yang didasarkan kepada amalan demokrasi berparlimen. Islam tidak menentang amalan demokrasi dalam urusan kepimpinan. Malah Islam menekankan proses pilihanraya yang bersih, telus, dan jujur. Islam juga menekankan kepimpinan yang berwibawa dan bermoral serta bersedia memberi khidmat kepada rakyat dan bukan kepada kaum kerabat  sendiri (kroni dan nepotisma) dan bukan sebagai tiket untuk mengumpul harta kekayaan atau menindas rakyat. Pengiktirafan ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengakui orang bukan Islam lebih arif tentang keperluan, urusan, dan piskologi orang bukan Islam.

Di Kelantan dan Terengganu, kerajaan negeri melantik ramai orang bukan Islam untuk menjadi wakil kepada kaum-kaum bukan Melayu dan bukan Islam bagi  menganggotai jawatankuasa khas kerajaan negeri. Tindakan ini dibuat bagi melicinkan pentadbiran negeri. Malah kerajaan di bawah kepimpinan PAS di Kelantan juga memberikan peluang orang bukan Melayu yang berugama Islam (walaupun bukan ahli PAS) untuk memegang jawatan tinggi dalam pemerintahan negeri.

24. Mengapa asyik membicarakan "apa yang boleh" dan "apa yang tak boleh" apabila melihat kepada negara Islam? (201/08/01)

Negara Islam bukan negara yang sibuk "menghukum". Itu adalah propaganda orang yang tidak suka kepada negara Islam. Orang yang rasional akan melihat apakah kualiti dalam produk negara Islam. Orang yang rasional akan melihat secara makro bukan secara mikro dalam sesuatu produk. Pengguna tidak meneliti apakah wayar  dan skrew yang digunakan dalam komputer yang baru sahaja dibeli tetapi pengguna melihat apakah kebaikan yang ditawarkan oleh komputer tersebut.   

Mengapa tidak melihat kepada kebaikan yang ditawarkan?