ASPEK BUDAYA MASYARAKAT MELAYU SARIBAS DEBAK
Budaya Melayu Saribas adalah berteraskan Islam. Tauhid dan prinsip-prinsip Islam mendasari segala aspek kehidupan sama ada kehidupan individu, berkeluarga, ekonomi, kesenian pendidikan dan lain-lain. Dengan penerimaan Islam, masyarakat Melayu Saribas menerima konsep tuhan yang boleh difahami melaluii akal dan fikiran. Dengan hanya mengamati kejadian alam, gunung-gang, bukit- bukau, langit dan bumi, masyarakat Melayu Saribas mudah memahami konsep ketuhanan. Melalui penyebaran Islam, Al-Quran telah mengubah jiwa masyarakat ini menjadi jiwa merdeka yang menyannjungi ilmu dan intelektual. Penyanjungan ini seterusnya dijelmakan dalam segala aspek budaya mereka yang meliputi kraftangan, pemikiran, kesenian dan adat istiadatnya.

Kedudukan Masjid dan Surau
Ciri khusus yang menjadi masyarakat ini sehingga sekarang ialah pertempatan di kawasan persisiran atau berhampiran dengan sungai. Di samping itu, masjid dan surau pula merupakan identiti khusus masyarakat ini yang bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat, tetapi juga berfungsi sebagai tempat pertemuan dan perbincangan segala aspek kehidupan masyarakat ini.

    Masjid biasanya terletak di kampung tengah. Tujuannya ialah bagi memudahkan penduduk kampung hulu dan hilir datang berjamaah di situ, 
    Surau biasanya dikelilingi oleh sekelompok rumah yang membentuk sebuah kampung atau sebahagian daripada sebuah kampung dan di sinilah solat berjamaah diadakan di samping menjadi pusat aktiviti Awal Muharam, Maulidur Rasul, Israk Mikraj dan perayaan-perayaan Islam yang lain. 

    Oleh kerana sungai merupakan sistem pengangkutan utama pasa zaman dahulu, maka semua masjid dan surau bagi masyarakat ini didirikan berhampiran Sungai Rimbas dengan tujuan memudahkan  pengangkutan bahan  binaan masjid serta menyelesaikan masalah bekalan air bagi taharah dan wuduk.


Pembinaan Rumah
Kebanyakan rumah di kampung Beladin didirikan di sepanjang Sungai Saribas secara berjajar. Tujuan pertempatan  sedemikian ialah kerana pada zaman dahulu sungai nadi penggerak masyarakat ini. Sungai dijadikan tempat mendapatkan bekalan minuman, mandi, membasuh, mengambil wuduk, pengangkutan, tempat membuang sampah malah sebagai tandas.

    Selain itu, ciri pertempatan masyarakat Melayu Saribas Beladin adalah sebuah rumah ibu bapa akan dikelilingi oleh rumah anak menantu. Keadaan ini adalah berpunca daripada kebiasaan masyarakat ini apabila anak perempuan mereka berkahwin dengan lelaki daripada keluarga lain atau dari tempat yang lain akan meminta menantu lelaki tinggal sama ada di rumah mereka atau mendirikan rumah di sebelah rumah mereka. Semakin ramai anak perempuan seseorang maka semakin banyaklah rumah didirikan di sekeliling rumah ibu bapa mereka.

    Sehubungan dengan itu, sekiranya ada di kalangan anak bujang atau dara mereka yang berjaya mendapat pekerjaan yang baik atau makan gaji, anak pertama yang berjaya itu akan diminta mendirikan semula rumah ibu bapa mereka dengan rumah yang lebih baik sebelum mereka dibenarkan mendirikan perkahwinan

    Oleh kerana tanah sesuatu keluarga itu kecil, tetapi ramai anak menantu mendirikan rumah di atas tanah ibu bapa maka berlaku keadaan susunan rumah yang rapat-rapat di dalam sesebuah kampung dan antara kampung  sehingga dikatakan bahawa sekiranya seekor kucing melompat dari bumbung rumah pertama di Kampung Ulu (paling ulu), kucing itu akan dapat sampai ke rumah paling hujung di Kampung Hilir (paling hilir) dengan hanya melompat dari bumbung ke bumbung rumah sahaja.

    Berkaitan dengan susunan rumah yang rapat itu menyebabkan tidak wujud lagi halaman rumah. Dengan itu, sekiranya anak-anak bermain mereka akan bermain di jalan raya atau mengajak kawan-kawan mereka bermain di dalam rumah atau di dalam hutan berhampiran. Selain itu, pokok tanaman sama ada buah-buahan, bunga atau sayur-sayuran tidak dapat ditanam dengan sempurna kerana kekurangan ruang tanah dan ini akan menyebabkan tanaman tersebut terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran hanya dapat ditanam di dusun atau kebun milik keluarga berkenaan.

    Dari segi struktur binaan, kebanyakan rumah masyarakat ini menggunakan cara moden tetapi kebanyakan rumah didapati menggunakan kepingan asbestos sebagai dinding, tangga di dalam rumah, zink biru sebagai bumbung dan tiang belian.

    Satu ciri yang menarik tentang pertempatan masyarakat ini ialah bilik air selalunya akan didirikan berasingan dengan bangunan rumah dan terletak di depan rumah manakala tandas pula kebanyakannya didirikan di dalam rumah dan selalunya pada bahagian paling belakang rumah atau berhampiran ruang dapur.

Majlis Khatam Quran
Pendidikan asas yang ditekan sehingga sekarang ialah mengaji al-Quran. Kemuncak pengajian al-Quran ialah Majlis Khatam Ouran sebagai tanda selesainya peringkat pertama mengaji Quran. Kanak-kanak yang sudah tamat pengajian al-Quran akan dikumpul secara beramai-ramai dan kemudiannya akan memperdengarkan bacaan mereka di khalayak ramai dan kemudiannya diikuti dengan majlis tahtim. Pemberian berupa beras kuning yang diletak di dalam bekas segi empat yang dinamakan seperit dan dihias dengan telur serta bendera yang beraneka warna yang dicucuk pada nasi kuning itu. Satu perkara yang menarik pada majlis ini ialah, kana-kanak itu akan diarakkan secara beramai-ramai menaiki tandu yang pelbagai rupa seperti bot, kapal terbang, kereta dan sebagainya dari kampung hulu ke kampung hilir.