EKONOMI | ||||||||||||
Kegiatan ekonomi adalah berkaitan dengan
usaha-usaha masyarakat ini mencari pendapatan bagi menyara kehidupan diri
dan keluarga. Pekerjaan masyarakat ini adalah berbeza mengikut jantina.
Pekerjaan kaum lelaki adalah lebih kepada sumber utama pendapatan keluarga
manakala pekerjaan kaum perempuan hanyalah bagi membantu pendapatan suami
serta memenuhi masa lapang. Jenis Pekerjaan 1. Pembalak Pembalak atau dikenali sebagai 'kerjo kayu' merupakan pekerjaan utama kaum lelaki Melayu di sini. Kebanyakan mereka bekerja di kem-kem balak yang terdapat di Sibu, Bintulu dan Sri Aman. Dalam setahun mereka hanya akan pulang ke Beladin selama dua atau tiga kali sahaja. Selalunya mereka akan pulang pada Hari Raya Aidilfitri, Maulidur Rasul dan Hari Raya Qurban. Pendapatan mereka adalah tidak menentu dan bergantung kepada 'advance' yang diberikan oleh 'kepala kerja kayu' iaitu orang yang bertanggungjawab kepada taukeh balak. Duit 'advance' ini merupakan wang pendahuluan yang akan ditinggalkan kepada keluarga di Beladin sebelum seseorang itu memulakan kerja. Dalam tempoh tiga hingga empat bulan, sebanyak kira-kira RM 500-600 akan diberikan sebagai 'advance' kepada pekerja dewasa dan RM200 kepada pekerja kanak-kanak. Kanak-kanak yang tercicir dalam persekolahan selalunya akan menyertai pekerjaan ini. Pekerjaan ini mempunyai risiko yang tinggi kerana berlaku kemalangan di dalam hutan. Ada pekerja balak yang cacat anggota dan terdapat juga yang meninggal dunia akibat dihempap pokok balak atau terkena mesin gergaji pokok. 2. Petani Kegiatan pertanian merupakan sumber rezeki utama di kawasan ini. Kebanyakan petani di kawasan ini menanam padi hanya untuk sara diri.Padi ditanam sekali setahun. Hasil padi yang diperolehi akan disimpan sebagai makanan dalam tempoh setahun. Penanaman padi di sini masih menggunakan teknik dan cara tradisional. Tidak terdapat langsung penggunaan mesin atau jentera dalam proses penanaman padi di sini. Terdapat dua jenis padi yang ditanam iaitu padi sawah dan padi huma (bukit). Walaupun demikian. padi sawah lebih banyak ditanam di sini. Sawah selalunya dikerjakan oleh pasangan suami isteri dan dibantu oleh ahli keluarga terdekat. Padi selalunya dituai dalam bulan April dan Mei. Pada satu musim menuai seseorang petani akan mendapat pendapatan sebanyak RM 1000-RM2000. Selain itu, terdapat juga penanaman lada hitam dan nenas. Pendapatan penanam lada hitam adalah antara RM 5000 - RM 20,000 setahun. 3. Nelayan Ramai yang bekerja sebagai nelayan di sini kerana Beladin terletak agak dekat dengan laut. . Mereka jarang berada di Debak kerana selalu berada di laut. Terdapat juga seorang nelayan laut dalam di sini yang memiliki kapal menangkap ikan yang berharga RM 800 ribu. Selain itu, terdapat juga nelayan sungai yang melakukan pekerjaan secara bermusim. Mereka selalunya akan turun ke Sungai Saribas dan Rimbas untuk menangkap ikan bulu dan udang galah. Udang galah selalunya ditangkap ketika berlaku perubahan musim hujan kepada kemarau dan sebaliknya. Harga udang galah di sini (Pekan Beladin) ialah RM 18 sekilogram. Walaupun demikian udang yang dijual di dalam kampung dan baru ditangkap, harga lebih rendah daripada itu. Saiz udang di sini agak besar iaitu sebesar lengan manusia. 4. Peniaga kecil Di dalam sesebuah kampung terdapat hampir beberapa buah kedai runcit. Kedai ini selalunya dimiliki oleh sesebuah keluarga. Kedai runcit di sini selalunya dibina di kawasan rumah atau sebahagian daripada rumah. Kadang-kala terdapat kedai runcit yang terletak sebelah menyebelah kerana peniaga berjiran antara satu sama lain. Kedai runcit di kawasan perkampungan ini menjual barang-barang yang sama iaitu barang keperluan dapur. Kedai kampung menjadi pilihan suri rumah tangga di sini kerana letaknya berhampiran rumah dan perniagaannya beroperasi sehingga malam. Kedai runcit di pekan Beladin menghentikan operasinya pada pukul 4.30 petang - 5.00 petang. 6. Kaki tangan Kerajaan Kebanyakan kaki tangan kerajaan di sini adalah bekerja sebagai guru, tukang masak, kerani, pekerja am, pegawai pertanian, pembantu kesihatan dan pekerja survey. 7. Tukang Rumah Tukang rumah terdiri daripada generasi lama yang mahir membina rumah. Mereka selalunya mendapat antara RM30-RM60 sehari bergantung kepada kemahiran dan kerja. Selain membina rumah orang Melayu, mereka juga diupah membina rumah panjang kaum Iban di kawasan ini. 8. Tukang Urut Tukang urut terbahagi kepada tukang urut badan dan tukang urut patah. Tukang urut badan terdiri dari pada lelaki dan wanita terutamanya petani yang mahir mengurut seluruh badan pelanggannya supaya kedudukan urat saraf dan perjalanan darah menjadi lancar. Kerja ini dilakukan secara sambilan dan selalunya menerima RM 5 sekali urutan. Tukang urut patah merupakan pekerjaan yang tetap dan dilakukan secara profesional. Mereka mampu membetulkan tulang yang patah atau tulang yang rosak akibat kemalangan. Bayaran yang dikenakan adalah mengikut rawatan. |