Tuan Pengerusi Majlis
Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua
Menteri Sarawak
Menteri-Menteri Kabinet Negeri
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
dan Salam Sejahtera
1. Saya ucapkan terima kasih kerana diberi penghormatan untuk melakukan perasmian ini, bersama-sama dengan sahabat saya, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Taib. Peristiwa ini amat bermakna, khususnya bagi penduduk-penduduk di Daerah Triso, Melebu dan Pusa. Upacara hari ini memberi harapan baru kepada penduduk persekitaran. Kerajaan membina jalan-jalan di luar bandar dengan tujuan memberi kemudahan kepada rakyat. Kita semua tahu jalan merancakkan pertumbuhan ekonomi, membuka peluang ekonomi pada penduduk di kawasan terpencil dan merapatkan hubungan sesama kita.
Tuan-tuan dan puan-puan
2. Kejayaan Sarawak dibawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional ini amat membanggakan. Kerajaan Negeri telah rancang dengan teliti, bijaksana dan prihatin pembangunan Sarawak. Saya bandingkan keadaan hari ini dengan masa mula-mula saya berkunjung ke Sarawak dalam tahun 1960an. Sarawak benar-benar berubah wajah. Bandaraya Kuching begitu indah. Kehebatan Kuching Waterfront diakui dunia melalui anugerah-anugerah peringkat antarabangsa. Miri juga mempunyai potensi yang amat besar. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Miri antara yang paling sibuk dan menguntungkan di Malaysia. Lapangan terbang di Miri dibesarkan dengan perbelanjaan RM120 juta. Kerajaan Negeri mempunyai wawasan untuk menjadikan Miri sebagai Resort City menjelang tahun 2005.
3. Kita juga bangga dengan tahap pembangunan, kemudahan asas, infrastruktur, dan kesunguhhan Kerajaan Negeri Sarawak membangunkan kampung-kampung terpencil dan menaikkan taraf kehidupan penduduk kampung. Kadar kemiskinan terus menurun. Statistik menunjukkan kadar kemiskinan di Sarawak di tahap 7.3 peratus. Kerajaan juga sering menekankan betapa pentingnya rumah yang selesa dalam pembangunan sumber manusia. Contohnya, anak-anak akan lebih terdorong berusaha meningkatkan kebolehan dan kemampuan masing-masing bila mereka selesa tinggal di rumah. Menyedari hakikat ini, sepanjang Rancangan Malaysia Ketujuh, Kerajaan membina 26,281 unit rumah kos rendah di Sarawak dengan kos RM524.5 juta. Bagi Projek Perumahan Rakyat pula, 1,550 unit berharga RM70 juta telah disediakan. Bagi tempoh yang sama, sejumlah RM12.3 juta telah dibelanjakan melalui Program Pemulihan Rumah (PPR) melibatkan 2,409 buah rumah rakyat miskin di Sarawak.
4. Dalam pada itu, saya difahamkan anak-anak penduduk luar bandar termasuk di Sarawak, menunjukkan sikap yang positif terhadap usaha meningkatkan pencapaian akademik. Syabas. Saya harap ibu bapa akan terus memberi galakkan dan sokongan moral supaya anak-anak maju dalam pendidikan. Anak-anak kita perlu mahir dalam mata pelajaran yang mencabar seperti Sains dan Matematik. Anak-anak kita mesti digalak belajar bahasa asing umpamanya Bahasa Inggeris. Tanpa penguasaan Bahasa Inggeris mereka tidak dapat mengecapi kehebatan Internet. IT bukan sekadar menghantar E-mail dan Chat dengan kawan. Anak-anak adalah harapan terbesar kita. Kerajaan tidak akan sama sekali abaikan mereka. Dalam RMK-7, Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM1.89 billion bagi sektor pendidikan di Sarawak. Ini bermakna terdapat lebih banyak sekolah menengah dan rendah yang berdekatan dengan kampung masing-masing. Accessibility terhadap ilmu ini perlu terus dipertingkatkan. Sebenarnya, pada asalnya peruntukkan bagi pendidikan di Sarawak untuk tempoh RMK-7 berjumlah RM895 juta. Tetapi perbelanjaan ditambah hingga ke RM1.89 billion. Ini adalah satu jumlah yang sangat besar. Kerajaan tidak teragak-agak mengeluarkan peruntukkan tambahan, mengikut keperluan dan keupayaan, demi kebajikan rakyat jelata, terutama yang berpendapatan rendah. Kerajaan memberi jaminan bahawa usaha pembelaan rakyat berterusan, malah akan dilipatgandakan.
Tuan-tuan dan puan-puan
5. Hari ini kita berkumpul di sini untuk satu projek yang membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak. Kerjasama serupa ini dan perhubungan yang baik antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri membolehkan projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan licin dan sempurna.
6. Pelaksanaan projek awam seperti jalanraya, sekolah, Hospital , taliair dan sebagainya sangatlah wajar tatkala ini dalam usaha Kerajan untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi agar ianya menjadi pertumbuhan yang `sustainable’ atau mampan dalam masa yang tercepat.
7. Angka pertumbuhan ekonomi, KDNK, yang diumumkan dari masa ke semasa membawa makna yang besar pada kehidupan seharian kita. Misalnya, pada tahun 1996-97, pertumbuhan KDNK sebanyak 8.2 peratus telah menghasilkan pekerjaan baru sebanyak 781,200. Kemudiannya krisis ekonomi melanda. Kini ekonomi telah berkembang dengan kadar positif untuk lima suku-tahun berturut-turut. Bagaimanapun, Kerajaan belum berpuas hati dengan prestasi ini. Masih ada lagi isu-isu yang perlu diatasi segera untuk melicinkan pertumbuhan ekonomi negara. Misalnya penggabungan institusi bank mestilah berjalan mengikut jadual yang ditetapkan manakala syarikat stockbroker dan insurans juga sewajarnya juga mengambil inisiatif untuk bergabung secepat mungkin.
8. Pertumbuhan ekonomi juga akan menambah hasil Kerajaan bagi
membolehkan Kerajaan melaksanakan projek pembangunan untuk faedah rakyat.
Sebab itulah Kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan oleh IMF untuk memotong
perbelanjaan dan naik faedah. Ini adalah disebabkan Kerajaan prihatin kepada
masalah-masalah negara kita seperti kemiskinan luar bandar dan masalah ekonomi
masyarakat Bumiputra. Kerajaan berazam untuk membuka peluang seluas-luasnya pada
setiap rakyat Malaysia untuk memajukan diri masing-masing. Kerajaan bangga
dengan setiap kejayaan individu. Kerajaan ingin bantu dan bimbing setiap
invidivu agar mereka berjaya. Sebenarnya, ramai yang keliru antara kaya dan
berjaya. Kejayaan lebih penting untuk negara. Bila seseorang jurutera menjadi
jurutera yang cekap dan efficient, negara mendapat manfaat. Negara mahukan lebih
ramai professional yang berjaya. Orang yang ingin cepat kaya tanpa menggunakan
jalan yang betul, tidak memberi apa-apa sumbangan pada ekonomi dan negara.
9. Kerajaan BN adalah sebuah Kerajaan pro-kejayaan. Kejayaan
bermakna, individu berkenaan akan dapat menaikkan taraf kehidupan keluarga. Bila
kita maju, kita mempunyai wang yang lebih untuk melawat tempat-tempat lain
misalnya. Ataupun, mempunyai rumah yang lebih selesa. Hasrat sebegini terbuku
dihati setiap manusia. Mungkin ramai yang sebut, “Saya hidup ala kadar saja”,
tapi dalam hati mesti ada keinginan untuk memiliki benda-benda lain. Inilah
perjuangan BN. Segala bentuk kemudahan dan bantuan akan terus disalurkan, untuk
membolehkan setiap dari kita dapat memburu cita-cita masing-masing. Kerajaan BN
telah pun menyumbang ke arah tersebut. Pembangkang sendiri terpaksa mengakui
hakikat ini. Pembangkang serang Kerajaan menggunakan emosi bukan fakta. Saya
tidak tahu bila pilihanraya peringkat Negeri Sarawak akan diadakan. Mungkin Tan
Sri Taib sudah ada ilham. Menjelang pilihanraya ini bermacam tukang karut akan
datang, cuba membangkitkan kebencian pada pemimpin. Saya percaya mereka tidak
akan berjaya di Sarawak. Kerajaan BN Negeri kukuh. Perpaduan erat. Hampir
keselurahan rakyat Sarawak mahukan BN terus memerintah di Negeri ini.
10. Tugas Kerajaan di zaman IT kian mencabar. Banyak yang perlu kita kuasai. Gandingan rakyat-Kerajaan perlu dimantapkan. Kita perlu bersama-sama membelajari dan menerokai bidang baru jika kita tidak mahu ketinggalan. Jadinya, kesinambungan Kerajaan BN akan menjamin kita menghadapi cabaran-cabaran baru dari landasan yang kukuh. Kita harus terus mara dari segi ekonomi tanpa membuang masa. Cabaran ini harus ditanggung bersama oleh rakyat. Budaya kerja rajin, cekap, disiplin, dedikasi dan usaha untuk belajar sesuatu yang baru harus disemai dari kecil. Berbual-bual dengan kawan, bercerita tentang seribua satu issue yang berlaku di dunia, memang mengasyikkan. Tapi, budaya membuang masa sudah menjadi ketinggalan zaman. Memang ada parti pembangkang yang mengajak kita kembali mundur. Mereka menyerang projek-projek Kerajaan dan usaha murni Kerajaan dan rakyat memajukan ekonomi. Mereka mengajar rakyat irihati pada kejayaan dan tidak memburu kejayaan. Trend ini sudah kita lihat. Di Semenanjung ada Khutbah-khutbah Jumaat yang bercakap mengenai apa yang dikatakan ciri kepimpinan Islam. Secara terang-terang mereka menyatakan pemimpin hendaklah melebihi akhirat dari dunia. Islam mengajar umatnya mengimbangi dunia dan akhirat. Kedua-duanya sama penting. Dalam doa-doa kita pun, kita sebut dunia dan akhirat. Percayalah, kita kalau kita ketepikan dunia, kita akan ketinggalan di dalam semua bidang. Akhirnya kita akan menderita. Jika ini berlaku, kita terpaksa mengikut telunjuk orang kerana kita lemah. Kita terpaksa meminta-minta pada masa rezeki terbuka luas di Bumi bertuah ini.
Tuan dan puan
11. Kita telah merayakan ulang tahun kemerdekaan ke 43 baru-baru
ini. Semua rakyat mengambil bahagian merayakan hari bertuah ini. Perpaduanlah
yang membawa kemerdekaan. Malangnya dalam pilihanraya tahun lepas, politik pecah
belah telah menjelma di Semenanjung. Ini tidak menguntungkan sesiapa.
Pembangunan tidak boleh bertapak jika pergeseran sosial dibiar berlaku. Kini
Internet yang sepatutnya membantu kita menguasai ilmu dan bidang baru, dijadikan
pusat memaki hamun. Ini sangat merugikan. Kita cintakan keamanan dan kestabilan.
Budaya berdemonstrasi dan mencaci bukan budaya kita. Kita perlu mengekalkan
tatasulia, keamanan dan kestabilan. Politik hendaklah dikendalikan dengan hemad,
sesuai dengan budaya Ketimuran kita.
12. Dalam masa yang sama, kita perlu tahu apakah cabaran yang kita
hadapi. Paling penting ialah kita mesti elakkan perbalahan politik. Ianya tidak
memberi manfaat kepada rakyat jelata, khususnya kaum Bumiputra dan yang
berpendapatan rendah. Peningkatan mutu hidup rakyat Bumiputra mesti dijadikan
agenda negara yang penting dan tidak boleh diperjudikan. Jika terlalu asyik
`politicking’, banyak masa terbuang dan kerja-kerja yang mendesak dan mustahak
menjadi terbengkalai.
13. Kedua, kita mesti mengambil peluang sepenuhnya dari kemudahan- kemudahan yang disediakan untuk membaiki taraf dan mutu hidup kita semua. Anak-anak Bumiputra seharusnya mengambil peluang dari kemudahan yang disediakan untuk membaiki prestasi pelajaran dan menimba ilmu pengetahuan atau meningkatkan kemahiran sendiri. Anak-anak Bumiputra mesti diasuh supaya tidak terjerat oleh budaya tidak sihat. Di Semenanjung terlalu ramai anak Bumiputra yang terjerat dengan kegiatan menghisap dadah. Ini merosakan ekonomi negara kerana kumpulan ini tidak memberi apa-apa sumbangan kepada negara. Sebaliknya mereka menjadi ‘liability’ atau tanggungan negatif kepada Kerajaan dan masyarakat.
Tuan-tuan dan Puan-puan
14. Projek jalanraya dan jalan kampung yang dibina memberi banyak peluang kepada masyarakat luar bandar untuk memperbaiki tahap ekonomi mereka dengan memasarkan keluaran desa atau meraih peluang perniagaan yang akan muncul. Saya berharap agensi Kerajaan seperti MARA dan PKEN dapat membantu mereka yang tinggal berdekatan dengan projek ini untuk membaiki peluang ekonomi mereka.
15. Saya berharap projek jalanraya ini dapat dilaksanakan dengan licin agar faedahnya kepada masyarakat kawasan ini dapat dikecapi secepat mungkin. Saya juga berharap projek ini dapat membantu mewujudkan kesan positif berupa kegiatan ekonomi lain dan dari itu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Jalan juga membuka laluan bagi orang kampung ke bandar dan peluang-peluang yang ada hasil pencantuman ini. Pencantuman seumpama ini sering terjadi. Ini bermakna pembangunan bandar dan desa sebenarnya berkait rapat. Kerajaan mempunyai trackrecord yang tidak pernah membelangkan penduduk luar bandar. Kerajaan tidak putus-putus menyalurkan peruntukkan kewangan ke kampung-kampung.
16. Kerajaan Pusat juga akan terus memberi sokongan dan bantuan pada Kerajaan Negeri Sarawak. Selama ini pun kita telah menjalinkan kerjasama yang erat. Dan dibawah pimpinan YAB Ketua Menteri, Sarawak telah mengecapi kemajuan dan meraih pelbagai kejayaan. Kita dapat lihat sendiri pembangunan bandar dan desa di sini. Dengan itu, saya penuh yakin rakyat Sarawak akan terus menyokong Barisan Nasional di Sarawak.
17. Dengan kata-kata ini saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim dengan sukacita merasmikan majlis memecah tanah projek Jalan Triso/Melebu/Pusa, bahagian Seri Aman.
Terima kasih.